PTPTN,Mahkamah dan senarai hitam imigresen

Berikut petikan dari Harian Metro online bertarikh 11 Januari 2010.

Mahkamah dan senarai hitam imigresen

PTPTN menguatkuasakan senarai hitam imigresen kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik di samping membawa peminjam yang gagal membuat bayaran balik ke mahkamah.

Terdapat peminjam yang hadir di mahkamah kerana gagal membuat bayaran balik. Peminjam disoal sama ada mengaku pernah menerima pinjaman pendidikan PTPTN. Sekiranya mereka mengaku pernah menerima pinjaman pendidikan, kes ditutup dan mereka diarah ke PTPTN bagi berbincang cara penyelesaian atau proses bayaran balik.

Tetapi, PTPTN masih mengekalkan nama peminjam dalam senarai hitam imigresen jika mereka gagal membuat bayaran penuh pinjaman. PTPTN juga mengekalkan nama peminjam dalam senarai hitam imigresen walaupun peminjam mula membuat bayaran ansuran setiap bulan. Senarai hitam imigresen kekal selagi jumlah keseluruhan pinjaman tidak selesai. Atau, peminjam boleh mengemukakan rayuan pengeluaran nama daripada senarai hitam imigresen setelah membuat bayaran 50 peratus, tetapi 50 peratus lagi hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Apabila ditanya kepada pegawai PTPTN cara penyelesaian lain, akan dijawab tiada jalan penyelesaian dan inilah penyelesaiannya. Ada juga yang menjawab, sekiranya peminjam bekerja, sila keluarkan wang daripada akaun kedua KWSP bagi mengurangkan bebanan. Malah, ada yang menggalakkan peminjam membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan keseluruhan pinjaman jika ingin nama dikeluarkan dari senarai hitam imigresen.

Kes di mahkamah ditutup setelah peminjam mengaku pernah memohon dan menerima pinjaman pendidikan daripada PTPTN, tetapi kenapa nama peminjam masih tidak dikeluarkan dari senarai hitam imigresen? Atas alasan apa senarai hitam dikenakan walaupun sudah hadir di mahkamah dan peminjam telah mula membuat bayaran ansuran bulanan di samping mengeluarkan sebahagian wang daripada akaun KWSP? Bagaimana dengan nasib peminjam yang dikenakan tindakan mahkamah dan penguatkuasaan senarai hitam imigresen akibat kecuaian PTPTN?

Apabila perkara ini diajukan ke Bahagian Senarai Hitam Imigresen PTPTN, peminjam akan menerima jawapan: "Bagaimanapun, encik perlu membuat bayaran penuh pinjaman sekiranya mahu nama dikeluarkan dari senarai hitam imigresen, ini saja jalan penyelesaiannya".

Bagaimana dengan peminjam yang baru bekerja dan kerjayanya memerlukan ke luar negara? Tidakkah kerjanya terganggu? Bagaimana pula jika dibuang kerja kerana alasan ini? Bagaimana peminjam ingin teruskan bayaran balik pinjaman sekiranya hilang pekerjaan? Adalah elok jika peminjam mula membuat bayaran balik walaupun secara ansuran daripada mereka terus kesal dan lari daripada membayar hutang pendidikan.

Comments

Popular posts from this blog

Senarai Cerpen Fiksyen Sains dari Dewan Kosmik